Imigresen gempur pusat beli belah gajikan PATI

0
2

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah kompleks beli belah di Solaris, Kuala Lumpur dan berjaya menahan 13 warga asing atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata serbuan itu dibuat selepas tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember lalu.

Menurutnya, serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia pada jam 3 petang dengan kekuatan seramai 38 orang Pegawai Imigresen.

Beliau berkata, JIM bertindak  memeriksa 60 warga asing terdiri dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun. 

“Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat. Premis tersebut kebanyakkan menggaji warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan juru jual.  

“Hasil pemantauan, kesemua warga asing ini digajikan oleh majikan warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, warga asing terbabit cuba bertindak pantas dengan menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya. 

“Seramai 13 orang lelaki warganegara India telah ditangkap kerana kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa. Selain itu, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Semasa pemeriksaan, terdapat juga pekerja warga asing yang digajikan ini telah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan,” katanya. 

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

Beliau berkata, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Jabatan ini menggesa kepada warga asing supaya mengambil kesempatan sertai Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk pulang ke negara asal secara sukarela. 

“Walaupun program ini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022, JIM tidak akan berdiam diri dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap PATI dan majikan yang masih degil,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here