BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kenaikan mendadak perkhidmatan Grab ketika ini didorong oleh kadar komisen syarikat yang tinggi selain faktor bekalan dan permintaan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selain kadar komisen syarikat sebanyak 20 peratus yang agak tinggi, kekurangan pemandu disebabkan ramai yang berhenti ketika ‘lockdown’ baru-baru ini menyebabkan permintaan meningkat.
“Saya difahamkan bahawa ramai pemandu telah berhenti setelah ekonomi dibuka semula apabila lockdown separuh masak berbulan-bulan lamanya.
“Akibat jumlah pemandu yang sudah berkurangan serta permintaan yang lebih tinggi, harga pun naik. Dikatakan kenaikan ini adalah berkali gandanya – terutama pada waktu puncak,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, Najib mengemukakan tiga cadangan untuk mengatasi isu kenaikan mendadak perkhidmatan Grab berkenaan.
Katanya, bagi mengurangkan harga perkhidmatan Grab, kerajaan boleh meminta syarikat Grab untuk mengurangkan kadar komisen.
“(Selain) tarik minat lebih ramai orang yang ingin mengambil kesempatan dengan harga perkhidmatan lebih tinggi ketika ini untuk menjadi pemandu Grab.
“Kurangkan permintaan bagi perkhidmatan Grab dengan menggalakkan lebih ramai penumpang memilih pengangkutan awam atau memilih perkhidmatan teksi biasa jika harga Grab lebih mahal,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, pelanggan Grab, meluahkan kekecewaan mereka terhadap kenaikan harga perkhidmatan pengangkutan itu, baru-baru ini.
Mereka memaklumkan kenaikan itu boleh meningkat hingga dua kali ganda daripada kadar biasa, menyebabkan mereka tidak lagi mampu melanggannya. – Malaysiapost

