SEJUMLAH 10 sungai di Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka merekodkan paras air melebihi tahap bahaya susulan hujan berterusan.
Berdasarkan kemas kini laman Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), beberapa sungai turut mencatatkan peningkatan sekali gus berisiko menyebabkan banjir.
Di Pahang, tiga sungai di Jerantut, Pekan dan Bera melepasi paras bahaya antaranya Paya Gintong di Jerantut menunjukkan sungai itu berada pada paras 45.05 meter (m) dengan trend menurun.
Selain itu, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan mencatatkan bacaan 16.23 m melebihi tahap bahaya sebanyak 1.33m serta Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera mencatatkan bacaan 32.9 m melebihi tahap bahaya sebanyak 2.4m.
“Di Selangor, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam juga kembali meningkat dengan bacaan 2.79 m melebihi tahap bahaya sebanyak 0.49m dengan trend menaik.
“Di Johor, paras air turut meningkat melibatkan Sungai Lenik, di Ladang Chaah, Bandar Segamat selepas paras air melepasi tahap bahaya iaitu 6.66m melebihi tahap bahaya sebanyak 0.66m dengan trend menurun.
“Turut melebihi paras bahaya melibatkan Sungai Segamat di Bandar Segamat dengan bacaan 9.84m dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur dengan bacaan 4.27m,” katanya.
Di Negeri Sembilan, hanya melibatkan satu kawasan iaitu Sungai Muar, di Pekan Rompin, Jempol merekodkan bacaan 35.19m melebihi tahap bahaya sebanyak 2.19m.
Manakala dua sungai di Melaka turut berada pada tahap bahaya membabitkan Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin dengan bacaan 3.73m dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatatkan bacaan 2.8m. – Malaysiapost

