i-Citra RM10,000: NUBE sokong ketegasan PM, Tengku Zafrul

0
2

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengalu-alukan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran lanjut simpanan KWSP meskipun didesak ahli politik tertentu.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak.

Sehubungan itu katanya, NUBE berpandangan bahawa skim dan insentif diumumkan Perdana Menteri boleh membantu mangsa banjir dan jika tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah peruntukan sumber tersebut dengan sewajarnya.

“Tetapi untuk taksub menggunakan dana KWSP semasa setiap bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya ahli-ahli politik yang membuat desakan merupakan mereka dari kerajaan yang memerintah.

“Ahli-ahli politik ini perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot ketara akibat pengeluaran yang dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak Covid-19.

“KWSP telah memberi statistik mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, iSinar dan i-Citra. Ini membawa kepada sejumlah besar pencarum, sebahagian besarnya dari kumpulan B40 sangat terdedah kepada kesukaran apabila bersara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Solomon berkata agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang RM1,000 dalam simpanan mereka namun malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan menyedihkan itu merupakan komuniti yang Umno wakili.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan yang mencukupi juga, antara lain disebabkan ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad, khususnya kekurangan gaji sara hidup yang baik.

“Kerajaan Umno selama lebih 60 tahun telah gagal untuk menaikkan gaji pekerja yang setanding dengan Singapura dan negara-negara jiran lain, yang sama ada berada di belakang kita atau seiring dengan kita pada satu masa dulu.

“Bagi rakyat Malaysia, zaman kemakmuran yang tiada tandingan ini menyebabkan kepincangan sosial yang besar,” katanya.

Tambahan pula, menurutnya, kekurangan iltizam politik untuk memerangi rasuah institusi telah membawa kepada tahap rasuah yang semakin teruk dan membimbangkan.

“Penyakit barah ini telah menafikan bahagian mereka yang saksama daripada kekayaan negara. Undang-undang buruh yang tidak adil telah menghalang pekerja dan kesatuan sekerja daripada menuntut bahagian pendapatan buruh yang adil daripada keuntungan.

“Pada masa sama, GLC dan GLIC tidak menjadi contoh dalam mempromosikan gaji sara hidup yang baik. Tambah memburukkan keadaan, penyelewengan dana kedaulatan Malaysia oleh pemimpin tertentu, membantutkan pertumbuhan pendapatan rakyat biasa, yang diperlukan semasa bencana seperti sekarang.

“Oleh itu, NUBE berharap kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini dan akan menyediakan pelan tindakan segera untuk gaji sara hidup yang baik bagi pekerja supaya mereka akan mempunyai simpanan mencukupi semasa kecemasan
dan simpanan persaraan yang sesuai demi perlindungan sosial,” katanya lagi.

Kata Solomon lagi, NUBE berharap Perdana Menteri akan tegas mempertahankan keputusannya demi kesejahteraan pencarum dalam jangka masa panjang dan juga berharap parti beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik popular jangka pendek dan meninggalkan pekerja dalam kesusahan jangka panjang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here