KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melihat kemungkinan akan menyediakan perkhidmatan internet atau rangkaian jalur lebar secara percuma di institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia penting bagi meringankan beban ditanggung pelajar khususnya mereka yang tidak berkemampuan untuk melanggan perkhidmatan internet.
“Kita bercadang dan mahu berbincang mengenai bagaimana kita boleh realisasikan penyediaan internet atau ‘Wi-Fi’ percuma di semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Pada masa sama, kita juga mahu panjangkan kepada IPT lain agar dapat mengurangkan perbelanjaan besar yang terpaksa ditanggung pelajar, sekali gus membantu mereka yang susah,” katanya memetik laporan Bernama.
Zahidi Zainul berkata, penting untuk memperkasakan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan pemimpin mahasiswa dan juga pelajar, memandangkan landskap dunia yang sudah berubah kepada digital, selain bakal pemimpin negara perlu bijak ICT.
Sebelum ini isu capaian internet ‘kecoh’ apabila pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik untuk menjawab peperiksaan.
Susulan itu timbul salah faham antara Zahidi dan pelajar berkenaan sehingga Zahidi memohon maaf kerana terkhilaf mendakwa pelajar itu menipu. Ia berikutan Zahidi mendapat maklumat daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Namun pada 9 September lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju isu sebenar yang dihadapi pelajar UMS itu adalah berkaitan masalah capaian internet di kawasan pendalaman.- Malaysiapost

