SEJUMLAH RM33 juta daripada RM93 juta permohonan Pinjaman Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk isi rumah yang terjejas akibat banjir, diluluskan pada 27 Disember 2021.
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN), 60 peratus daripada sumbangan berjumlah RM58 juta telah dilaksanakan.
“Selain itu, berikutan pengumuman kerajaan mengenai pemberian Baucar Pembelian Barangan Elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) akan menggunakan mekanisme Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) yang mana penerima boleh mula membuat pembelian di premis terpilih atau secara dalam talian bermula 7 Januari ini.
“Pada tarikh sama, diskaun dan Baucar Pembaikan Kenderaan juga akan terpakai bagi pembaikan dari 19 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan permohonan bagi Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS (BNM) telah mula dibuka untuk permohonan pada 27 Disember lalu.
“Manakala permohonan moratorium sehingga enam bulan bagi pinjaman sedia ada boleh dibuat bermula 19 Disember 2021.
“Bagi Pinjaman TEKUN untuk PMKS yang diumumkan pada 20 Disember 2021, pelaksanaan telah pun bermula pada 1 Januari 2022 melibatkan dana RM30 juta,” katanya.
Tambahnya, bagi inisiatif Pembersihan dan Pembaikan Infrastruktur Awam dana berjumlah RM25 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). – Malaysiapost

