5 negeri capai 100 peratus pembayaran BWI – PM

0
2

SEBANYAK lima negeri iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan, Melaka, Terengganu dan Perak telah mencapai 100 peratus pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi Pahang, bayaran BWI sudah mencapai 65.5 peratus, manakala Negeri Sembilan 82.7 peratus dan Selangor 47.6 peratus.

“Penyelarasan yang dibuat dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat-pejabat Daerah ini dijangka selesai diagihkan pada 5 Januari 2022.

“Ini tidak termasuk bayaran BWI kepada mangsa banjir gelombang kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga semalam, BWI telah selesai diagih kepada seramai 28,258 atau 61.2 peratus daripada 46,162 KIR.

Katanya, bantuan telah berjaya diagihkan dalam tempoh 10 hari selepas mangsa terkesan banjir berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.

“Selain itu, daripada 51 kematian akibat bencana banjir yang direkodkan PDRM sehingga semalam, seramai 38 waris mangsa telah menerima BWI Pengurusan Kematian.

“Justeru, bagi mempermudahkan urusan agihan BWI agar lebih cepat dan efektif, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah menubuhkan Command Centre dengan pemantau harian dibuat secara real time bermula 27 Disember 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here