MANGSA banjir di Melaka semakin meningkat dengan melibatkan seramai 2,537 orang daripada 656 keluarga dipindahkan ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata setakat ini 10 PPS dibuka di daerah Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan tiga di Jasin.
“Jumlah kawasan terjejas turut meningkat kepada 32 kawasan membabitkan 14 di daerah Alor Gajah selain masing-masing sembilan di Melaka Tengah dan Jasin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di Alor Gajah, kawasan terjejas melibatkan Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Belimbing, Kampung Pulau, Kampung Telok Berembang, Kampung Bukit Balai, Kampung Gangsa dan Taman Angkasa Nuri.
Manakala di Melaka Tengah membabitkan Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah, Taman Merdeka Jaya, Taman Tambhy Chik Karim, Rumah Awam Peringgit, Kampung Bachang Darat, Balai Panjang dan Bertam Malim.
Di Jasin pula, kawasan yang terjejas ialah di Kampung Parit Penghulu, Kampung Lanchang Kampung Tersusun Rambai Jaya, Kampung Tasek, Chincin Hulu, Chohong dan Terentang. – Malaysiapost

