KERAJAAN tahun ini telah menambah baik Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tahun lalu, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau menjelaskan BKM pada tahun ini akan memanfaat lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion, berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR pada tahun 2021.
“Kerajaan kekal komited dalam memastikan bantuan disediakan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Contohnya, bagi mangsa banjir, baru semalam (kelmarin) Perdana Menteri mengumumkan mereka akan terima bantuan antara RM10,000 hingga RM61,000.
“Saya juga doakan tahun 2022 akan menjadi lebih baik dan lebih makmur untuk kita dan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata mulai 1 sehingga 31 Januari 2022, rakyat yang merasakan mereka layak, boleh mendaftar untuk menerima BKM.
“Penerima sedia ada yang pernah terima BPR dan Bantuan Khas Covid B40 2021 tak perlu mendaftar lagi ya, tapi kalau nak kemaskini maklumat anda, boleh saja.
“Macam mana nak memohon atau kemaskini data? Boleh rujuk Soalan Lazim atau FAQ di portal rasmi BKM,” katanya. – Malaysiapost

