18,000 khemah bencana disediakan di Johor – Sultan Johor

0
2

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah hampir 18,000 khemah bencana sudah disalurkan kepada kawasan-kawasan berisiko banjir di seluruh Johor.

Titahnya, persediaan menghadapi banjir dibuat saban tahun dan dikemaskini sewajarnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

“Sama ada berlaku ataupun tidak, kita bersiap siaga untuk menghadapi banjir setiap tahun. Bukan sahaja khemah, malah persediaan lain juga disiapkan awal untuk segera dikerahkan jika sesuatu kawasan itu dilanda banjir.

“Semalam, pukul 2 pagi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim,  dah datang ke Segamat untuk meninjau keadaan.

“Bantuan bukan sahaja untuk ketika berlakunya banjir, tetapi juga perlu disediakan untuk meneruskan kehidupan selepas bencana itu.

“Rumah perlu dibersihkan, peralatan yang rosak perlu diganti dan macam-macam lagi,” titah Sultan Ibrahim menerusi Royal Press Office (RPO) seperti dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Baginda berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang, di Labis, Segamat untuk melawat mangsa banjir.

Pusat berkenaan menempatkan 272 mangsa banjir daripada 93 keluarga yang menetap berhampiran.

Ketika tinjauan itu, Sultan Ibrahim menitahkan tempahan tilam dan bantal tambahan untuk keselesaan mangsa di pusat berkenaan.

Turut berangkat bersama pada lawatan itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Ibrahim.

“Yayasan saya akan cuba sebaiknya untuk membantu mangsa-mangsa banjir negeri Johor, namun tangan saya ada dua sahaja. Saya tak mampu buat bersendirian. Saya harap lebih ramai pihak akan tampil untuk saling membantu.

“Saya juga menyeru rakyat negeri Johor supaya membuat solat sunat hajat dan berdoa agar diringankan bencana yang dihadapi, serta dikurniakan perlindungan,” titahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here