SEKUMPULAN 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesal dengan pendirian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung isu larangan penyertaan atlet Israel di kejohanan sukan di Malaysia.
NGO berkenaan dalam satu kenyataan bersama, menyifatkan kenyataan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mohammad Nazifuddin Najib, baru-baru ini, pesimis dan ‘takut dengan bayang-bayang’.
Menurut mereka, implikasi terhadap negara jika tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara bagi acara sukan hingga Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC) memberi amaran tidak membenarkan acara sukan antarabangsa diadakan di Malaysia pada masa akan datang, hanyalah propaganda akhbar Israel.
“Kami ingin menarik perhatian bahawa laporan berkenaan amaran oleh IOC tersebut sebenarnya adalah daripada akhbar Israel.
“Ia langsung tidak dilaporkan oleh mana-mana agensi berita yang lain. Oleh yang demikian, berita tersebut berkemungkinan besar adalah sebahagian daripada propaganda rejim Zionis,” menurut kenyataan itu, hari ini.
NGO berkenaan berkata, akhbar Israel juga baru-baru ini telah menguar-uarkan berita palsu bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia sedang berbincang untuk mengadakan normalisasi hubungan.
Menurutnya, laporan itu tidak menyebut bahawa Indonesia telah mengeluarkan kenyataan tegas kepada wakil AS iaitu Anthony Blinken bahawa Indonesia akan kekal menyokong perjuangan pembebasan Palestin dan tidak akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel.
“Namun, malangnya kepimpinan MOM seolah-olah takut dengan bayang-bayang kerana begitu terburu-buru mengeluarkan kenyataan yang begitu pesimis walaupun IOC belum mengeluarkan kenyataan secara rasmi,” katanya.
NGO terbabit turut kesal dengan sikap MOM yang langsung tidak menunjukkan sebarang kepekaan terhadap kesengsaraan warga Palestin yang sedang dizalimi oleh rejim penjajah Zionis Israel.
“Ribuan warga Palestin telah dibunuh, manakala ribuan yang lain telah dicederakan dan dipenjarakan secara zalim oleh rejim Israel. Tanah-tanah mereka telah dan sedang dirampas manakala ribuan rumah-rumah mereka pula telah dan sedang dirobohkan oleh tentera rejim Zionis Israel.
“Oleh yang demikian, sepatutnya MOM memberi sokongan yang teguh terhadap usaha kerajaan Malaysia untuk menyedarkan masyarakat antarabangsa tentang kezaliman Israel,” katanya.
Menurut mereka, kerajaan Malaysia juga perlu terus mengekalkan pendirian menentang kezaliman Israel dengan tidak membenarkan mana-mana perwakilan dari Israel memasuki Malaysia.
Kenyataan bersama NGO-NGO berkenaan dikeluarkan antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (Ilman), dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare). – Malaysiapost

