SEGAMAT menjadi daerah pertama di Johor terjejas akibat banjir dengan 603 mangsa daripada 145 keluarga telah dipindahkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8.58 pagi tadi.
Berdasarkan maklumat dari aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia, kesemua PPS terbabit mula dibuka sejak malam tadi dan awal pagi hari ini.
PPS berkenaan adalah Balai raya Kampung Sermin (enam mangsa), Balai raya Kampung Lembah Bakti (147 mangsa), Balai raya Kampung Paya Lenga (lima mangsa) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Ai Chun (160 mangsa).
Di PPS Dewan Serbaguna Jalan Genuang pula seramai enam mangsa, Balai raya Kampung Gelang Chinchin (lima mangsa), Balai raya Kampung Lebar (15 mangsa), Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (36 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tenang menempatkan mangsa paling ramai iaitu 223 mangsa.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang menerima maklumat mengenai bencana berkenaan tengah malam tadi terus berbertindak ke lokasi bencana bagi meninjau keadaan dan memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Saya telah sampai di PPS SK Kampung Tenang Labis,
PPS Dewan Pekan Air Panas, Labis dan PPS SJKC Ai Chun di daerah Segamat.
“Terdapat tambahan keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan ini. Barang-barang bantuan telah diagihkan dan suasana disini terkawal,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Tunku Ismail turut memaklumkan bantuan awal sudah diagihkan kepada mangsa banjir dan keadaan ketika ini adalah terkawal.
“Alhamdulillah barang-barang bantuan telah diagihkan kepada mangsa banjir dan suasana d isini semuanya terkawal,” katanya. – Malaysiapost

