Majlis Syura ‘Ulamak PAS mahu perkasakan MN, PN

0
2
https://harakahdaily.net/index.php/2021/08/20/majli-syura-ulama-pas-junjung-perkenan-agong/

MUZAKARAH Majlis Syura ‘Ulamak bersetuju untuk menegaskan kepentingan ‘Memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN)’ dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

Marsyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata kata sepakat persetujuan itu diputuskan semalam pada sidang berkenaan bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan Raya PAS Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15’.

Katanya, perundingan kerusi antara parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 dan bagi mendapat kemenangan majoriti besar.

“Ini selaras panduan Allah menerusi firmanNya dalam Surah al-Anfal ayat 46: Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah bertelingkah lalu kamu gagal dan hilanglah kekuatan kamu. Dan Bersabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semangat Ta’awun Siyaasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian.

“Ia sesuai dengan perintah Allah dalam Surah Ali Imran ayat 159: Maksudnya: “Maka dengan rahmat daripada Allah kamu bersikap lunak terhadap mereka.

“Dan jika kamu bersikap kasar, keras hati pasti mereka bertempiaran lari dari keliling kamu maka maafkanlah mereka, mohonlah keampunan Allah buat mereka dan berunding serta bermusyawarah dengan mereka dalam urusan tersebut. Seterusnya apabila kamu telah bertekad maka bertawakkal berserah dirilah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah suka orang-orang yang sentiasa bertawakkal menyerah diri (kepada Allah),” katanya.

Sementara itu, Majlis Syura ‘Ulamak turut menzahirkan takziah kepada mangsa banjir dan terima kasih tidak terhingga kepada misi-misi bantuan yang sedang berjalan.

“Dalam masa yang sama, Majlis Syura’ Ulamak menyeru semua lapisan masyarakat melipat-gandakan lagi usaha-usaha membantu mangsa banjir yang terjejas teruk dari sudut material,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PAS bekerjasama dengan Bersatu menerusi PN menentang BN.

Namun PAS yang bertanding lapan kerusi kalah kesemuanya.

BN kemudian membentuk kerajaan negeri di Melaka dengan majoriti dua pertiga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here