Jangan buang barang kesayangan mangsa banjir, pesan Annuar pada sukarelawan

0
3

TAN Sri Annuar Musa berpesan kepada sukarelawan yang terlibat dalam pembersihan pasca banjir agar membantu mengikut arahan serta kehendak tuan rumah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata ia bagi memastikan tidak berlaku kejadian sukarelawan membuang barangan kesayangan milik mangsa banjir yang masih elok serta boleh terus digunakan semula.

“Pesan pada sukarelawan… bantu mengikut arahan dan kehendak tuan rumah. Mereka (mangsa banjir) sayang barangan mereka. Kita cuba cuci, jangan dibuang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata demikian susulan laporan media mengenai seorang wanita mangsa banjir yang meluahkan rasa kesal apabila barangan keperluan mereka dibuang oleh sukarelawan.

Annuar turut memuatnaik tangkap layar laporan berita berkenaan di laman sosial miliknya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, peringatan oleh wanita itu perlu diberikan perhatian oleh semua pihak agar perkara sama tidak berulang.

Terdahulu beliau turun padang mencuci pinggan mangkuk yang dikumpul oleh pemilik rumah mangsa banjir di satu lokasi yang tidak dinyatakan.

“Tadi (semalam) saya cuci semua pinggan mangkuk yang tuan rumah kumpul… tak kira buruk atau yang baru, kita arahan tuan rumah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here