KERAJAAN negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) memperdaya rakyat Sabah apabila meneruskan projek Empangan Papar bernilai RM3 bilion biarpun menerima tentangan ramai pihak.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman, berkata keputusan itu sekali gus menunjukkan Warisan tidak mempunyai komitmen terhadap usaha pemuliharaan seperti yang dibanggakan parti itu.
“Rakyat Sabah perlu sedar. Kita dah diperdaya dan ditipu kerajaan Warisan Plus dalam isu ini.
“Kerajaan yang tidak mendengar keluhan rakyat bukanlah kerajaan untuk rakyat mahupun kerajaan oleh rakyat. Mereka tidak patut sama sekali diberi peluang sekali lagi memerintah, ia merbahaya,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini mengumumkan untuk meneruskan projek Empangan Papar yang akan dibina di Kampung Mondoringin.
Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, keputusan meneruskan projek kontroversi itu menerima tentangan hebat oleh komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan mengenai alam sekitar.
Katanya, penduduk Sabah masih ingat bagaimana Warisan dan sekutunya sebelum ini seolah-olah menentang projek Empangan Kaiduan, namun kemudian memindahkan projek itu dari Penampang ke Papar.
“Sekarang mereka menamakannya sebagai Empangan Papar setelah mereka berkuasa.
“Mereka sudah menunjukkan belang sebenar bahawa mereka tidak prihatin terhadap keluhan dan penderitaan rakyat,” katanya.
Projek mega Empangan Paparr meliputi empat kampung di Papar dan sembilan lagi di Penampang. -Malaysiapost
