Nurul Huda Abhar
“HARI ini masih ada yang rebah,” kata Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’.
Muhammad Syukur, 15, memaklumkan jumlah kerbaunya yang mati akibat penyakit hawar berdarah (HS) kini melebihi 50 ekor.
“Tragedi hawar berdarah..hari ini masih ada yang rebah. Jumlahnya sudah pun melebihi 50 ekor,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Isnin lalu, Malaysiapost melaporkan lebih 25 ekor kerbau milik bapa ‘Mowgli Malaysia’, Khamis Jusoh atau lebih kenali Pak Khamis, mati secara mengejut di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dilaporkan telah mengesahkan kerbau itu diserang penyakit Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah.
Sementara itu, Muhammad Syukur turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan kerja dari JPV yang membantu keluarganya dalam menghadapi situasi berkenaan.
Kawasan kandang milik bapanya itu dikawal rapi oleh JPV yang berusaha untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih hidup dan dalam masa yang sama memastikan penularan wabak tersebut tidak berlaku.
“Wira kami..Terima kasih buat seluruh warga kerja Jabatan Veterinar yang telah berkampung di sini sejak minggu lepas.
“Kandang dikawal 24 jam sehari oleh pasukan ini bagi memastikan wabak ini tidak menular ke kawasan lain.
“Sesungguhnya budi dan jasa mereka tidak termampu kami membalasnya,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 58 kerbau milik keluarga remaja itu diberikan suntikan antibiotik.
Menurut Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali, suntikan antibiotik itu diberikan kepada kerbau yang masih hidup sebagai usaha terakhir menyelamatkan ternakan berkenaan.
-Malaysiapost

