Anak jati Sungai Manila, Mahmud yakin diterima pengundi

0
3

MUNGKIN nama calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Prof Dr Mahmud Sudin masih baharu, namun sebenarnya bekas pensyarah ini ‘terkenal’ dalam kalangan pengundi DUN Sungai Manila.

Calon WARISAN kerusi DUN Sungai Manila, Prof Dr Mahmud Sudin (kiri) ketika bertemu peniaga dalam program ramah mesra di Pasar Batu 8 di Sandakan

Sebagai anak peneroka, selain pernah menjadi pemain gitar untuk kumpulan kugiran ‘jari jari gila’, beliau tidak lagi asing bagi masyarakat kawasan berkenaan.

Malahan, ketika program ramah mesra bertemu pengundi di sekitar Pasar Batu 8, di Sandakan, hari ini, Mahmud, 58, turut disapa beberapa peniaga yang mengenali calon itu dan mengutarakan beberapa isu.

Mahmud berkata, memasuki kempen hari ketujuh, beliau menerima reaksi positif daripada pengundi yang mahu perubahan dibawa di kerusi DUN baharu terletak di bawah Parlimen Libaran itu.

“Sejak hari pertama kempen, saya memperkenalkan diri sebagai anak peneroka dari Peringkat 3 Sungai Manila yang membesar dan bersekolah di sini dan pengundi memberi reaksi positif.

“Mungkin kerana saya anak jati di sini, mereka lebih terbuka untuk berkongsi dengan saya mengenai masalah dihadapi seperti isu saliran air, pemilikan tanah, keadaan infrastruktur, bekalan air, elektrik dan sebagainya,” katanya.

Mahmud bakal berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada 26 September ini.

Mahmud adalah bekas pensyarah dalam bidang perlindungan perhutanan di Kolej Universiti Yayasan Sabah dan pernah bertugas di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mahmud berkata, selain berasal dari Sungai Manila, ramai mengenalinya kerana beliau adalah penggiat seni dan pernah menjadi ikon Sabah menerusi kugiran yang popular sekitar tahun 1980-an sekali gus menjadi ‘batu loncatan’ kepadanya supaya mudah diterima pengundi.

Ditanya mengenai keyakinanannya untuk memenangi kerusi itu yang sebelum ini terletak di bawah kawasan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, Mahmud berkata, beliau tidak memandang remeh terhadap cabaran itu.

“Dalam politik, hari demi hari pihak tertentu ada strategi yang mereka sudah biasa dengan pengundi. Saya tidak pandang remeh cabaran itu tapi saya bekerja keras untuk memenangi kerusi ini,” katanya.

Mahmud berkata, dia menumpukan strategi berjumpa pengundi rumah ke rumah, selain mengadakan sesi ceramah berkelompok untuk memberi penjelasan kepada pengundi mengenai kepentingan memastikan kemenangan WARISAN di negeri ini.

Beliau berharap rakyat tidak akan mensia-siakan peluang keemasan pada PRN ini untuk memilih parti yang layak memerintah negeri ini.

“Warisan sudah terbukti ‘people centric’ atau mengutamakan rakyat. Jangan takut pihak luar dan kita tidak perlu orang luar ‘remote’ kita,” katanya. -Malaysiapost