SERONOK membawa padah. Itu ungkapan sesuai terhadap perbuatan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang membawa tiga kanak-kanak dalam keadaan berbahaya seperti dalam satu video yang tular di media sosial sejak semalam.
Susulan penularan video berdurasi 14 saat itu, wanita yang memandu kenderaan terbabit ditahan oleh pasukan Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman, semalam.
JSPT dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil siasatan awal mengesahkan wanita terbabit yang memandu seperti di dalam video yang tular tersebut.

“Tiga kanak-kanak tersebut adalah anak saudaranya yang tinggal di Klang. Kejadian berlaku semasa wanita tersebut memandu di Jalan Reko, Kajang pada 25 Disember 2021 yang lalu.
“Wanita itu ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan selanjutnya di mana siasatan dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) – Perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001- Penganiyaan, pengabaian ke atas kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Pihak JSPT turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada netizen yang menyalurkan maklumat seperti kejadian itu agar tindakan undang-undang boleh diambil kepada mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang di jalan raya.
“JSPT menyeru agar semua pemandu sentiasa mematuhi peraturan dan tidak sesekali membawa penumpang terutama kanak-kanak dalam keadaan yang berbahaya,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan sebuah Perodua Alza warna putih yang dipandu dalam keadaan berbahaya dengan tiga kanak-kanak bertindak mengeluarkan badan dari tingkap kenderaan terbabit.
Tindakan itu mendapat kecaman warga net kerana membahayakan nyawa kanak-kanak terbabit dan juga pengguna jalan raya lain. – Malaysiapost

