LONG Tiger, tahanan yang berjaya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu sebelum berjaya ditahan semula di Sungai Petani, Kedah semalam, kini direman selama empat hari.
Turut direman adalah tiga lelaki berusia 36; 38, dan 46 tahun termasuk seorang pondan yang dipercayai terbabit memberi perlindungan kepada Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 32.
Terdahulu keempat-empat individu berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, pagi ini untuk permohonan reman.
Lelaki berketurunan Rohingya itu berjaya ditahan semula pada 3.15 petang oleh polis Bukit Aman itu, di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.
Memetik laporan Utusan Malaysia, perintah reman terhadap Long Tiger dan tiga lagi individu terbabit dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan Long Tiger yang berjaya melarikan diri dari lokap mahkamah kira-kira dua minggu lalu berjaya ditangkap semula ketika sedang bersembunyi bersama seorang pondan di sebuah rumah di Sungai Petani.
Buruan polis itu turut dilaporkan mengalami kecederaan selepas jatuh dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember lalu ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.
Dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka akan memberikan butiran lanjut mengenai kejayaan tangkapan semula Long Tiger dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, dijadualkan 12 tengah hari ini. – Malaysiapost

