434 mangsa banjir positif Covid-19

0
2

SEJUMLAH 434 mangsa yang terlibat dengan bencana banjir disahkan positif Covid-19, dengan 14 jangkitan direkodkan berlaku di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 78 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir dengan paling tinggi membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), iaitu 53 kes.

“Turut direkodkan ialah 17 kes penyakit kulit, empat gejala acute gastroenteritis (AGE) serta masing-masing dua kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta konjunktivitis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga petang tadi, sebanyak 19,099 mangsa banjir yang masih terjejas ditempatkan di 121 PPS di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Tiada kluster baharu dilaporkan pada hari ini dalam kalangan mangsa banjir di PPS. Ini menjadikan setakat ini, hanya satu kluster dilaporkan di PPS, iaitu membabitkan 10 kes,” katanya.

Beliau berkata, daripada 2,897 kes harian yang dilaporkan hari ini, 50 daripadanya (atau 1.7 peratus) kategori tiga, empat dan lima, manakala 2,847 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 192 kes import yang membabitkan 178 warganegara dan 14 bukan warganegara, sementara 2,705 lagi jangkitan tempatan.

“Sebanyak 3,434 kes sembuh sehingga tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 2,673,084 jangkitan,” katanya.

Katanya, seramai 302 pesakit memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), 169 memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat ini, terdapat pertambahan empat kluster baharu menjadikan jumlah kluster di negara ini sebanyak 6,114 kluster dengan 226 daripadanya masih aktif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here