
SIKAP sambil lewa Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mendesak atau mengadakan mesyuarat terhadap dakwaan salahlaku melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM menimbulkan keraguan dan spekulasi.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata ia sekali gus menimbulkan kesangsian terhadap organisasi yang ditugaskan untuk mencegah rasuah.
Sehubungan itu katanya, Datuk Seri Azam Baki perlu direhatkan daripada tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi memberi laluan kepada siasatan yang harus disegerakan.
“Inilah satu-satunya cara bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi itu sekali gus menunjukan wujudnya sistem semak dan imbang yang baik dalam organisasi kerajaan.
“Tugas utama SPRM adalah utuk membasmi rasuah dan melindungi pemberi maklumat yang mengambil risiko untuk mendedahkan maklumat walaupun salah laku itu berlaku dalam kelambu sendiri.
“Sekiranya SPRM tidak lagi boleh dipercayai, kepada siapa rakyat harus meletakkan tanggungjawab ini?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas peletakan jawatan bekas ahli panel Perunding dan Pencegahan Rasuah SPRM, Dr Edmund Terrence Gomez yang disifatkannya amat mengejut dan membimbangkan.
Terdahulu Gomez meletak jawatan selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di SPRM.
Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa’ dan situasi ‘konflik kepentingan’ melibatkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham. – Malaysiapost
