Pemuda Umno Kelantan rayu PM pertimbang semula kelulusan i-Citra RM10,000

0
2

PEMUDA UMNO Kelantan merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan sekali lagi keputusan untuk tidak membenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata pihaknya yakin keputusan itu bukan jalan mati bagi permohonan i-Citra memandangkan ia menjadi keperluan dan harapan rakyat bagi mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk digunakan dalam situasi mendesak seperti pemulihan pasca banjir dan Covid-19.

Katanya, permintaan itu selaras keputusan dipersetujui bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 27 Ogos 2021, antaranya membuat ketetapan bahawa kerajaan mesti menyantuni tuntutan rakyat seperti pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000.

“Kami berpendapat inisiatif berhutang dengan TEKUN dan Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memberi bebanan tambahan jangka panjang kepada peminjam.

“Ia sekali gus mencipta rekod senarai hitam di bank sekiranya gagal membuat pembayaran balik dan memberi gambaran tidak baik kepada penilaian para pelabur asing terhadap Credit Rating Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan bantuan tunai RM1,000 kepada mangsa banjir, sekurang-kurangnya memberi sedikit nafas dalam pembelian barang makanan untuk sebulan setelah kembali ke kediaman masing-masing.

Namun katanya, kelulusan bantuan i-Citra RM10,000 tentunya memberi lagi kelegaan kepada rakyat yang akan kembali menjalani kehidupan norma baharu pasca banjir dan Covid-19.

“Selepas ekonomi rakyat kembali stabil, kerajaan boleh fokus kembali membina balik baki simpanan pendeposit dalam KWSP ini.

“Sekali lagi Pemuda Umno Kelantan berharap agar Perdana Menteri mempertimbangkan kelulusan ini demi rakyat yang terkesan. Kelulusan ini memberi bukti sebenar kepada kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here