TUJUH Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka gagal hadir Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 hari ini akibat dijangkiti Covid-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata keputusan saringan Covid-19 yang dilakukan Jumaat lalu mengesahkan empat Adun positif manakala tiga lagi kontak rapat.
“Kali ini kita bermesyuarat dalam keadaan berbeza, tidak mengikut peraturan-peraturan seperti mana notis yang telah kita berikan tempoh hari, disebabkan pandemik Covid-19,” katanya dipetik Malaysiagazette sebaik sahaja persidangan selesai hari ini.
Tujuh Adun yang tidak dapat hadir ialah Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek), Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) dan Rosli Abdullah (Kuala Linggi).
Turut sama, Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia).
Terdahulu, sidang DUN yang dijadual berlangsung empat hari dipendekkan kepada satu hari, berikutan penularan kes Covid-19 membabitkan beberapa Adun. – Malaysiapost

