POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan terdapat beberapa individu dipercayai daripada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long, mula mendekati mangsa banjir bagi menawarkan pinjaman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata walaupun sehingga kini tiada laporan diterima berhubung perkara itu, pihaknya tidak tolak kemungkinan sindiket mula menyasarkan mangsa banjir menjadi peminjam.
“Justeru dinasihatkan kepada semua mangsa banjir yang terlibat untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket pemberi pinjaman tanpa lesen ini.
“Polis sentiasa komited untuk memantau dan membanteras kegiatan Ah Long melalui siasatan dan operasi berterusan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Kamarudin berkata siasatan mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Kanun Keseksaan dan lain-lain akta berkaitan akan dilaksanakan jika terdapat laporan berkaitan kegiatan jenayah tersebut.
“Orang ramai diminta terus membantu polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersial.
“Maklumat boleh disalurkan melalui saluran CCID Scam Response Center’ di talian 03-26101559 / 03-26101599 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-2111222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

