Nurul Huda Abhar
MASALAH sampah berlonggok di tepi rumah dan bahu jalan dihadapi mangsa banjir di kawasan Kampung Chegar Medang, Bentong perlu diselesaikan segera berikutan tiada tindakan yang diambil pihak berwajib.
Tinjauan Malaysiapost di kawasan tersebut mendapati sisa-sisa pembersihan rumah pasca banjir masih bertimbun di hadapan kediaman penduduk kampung.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Nurul Aina, 22, berkata sudah sembilan hari banjir berlalu tetapi sehingga kini masih tiada lori yang masuk untuk mengangkut timbunan sampah tersebut.
“Tolonglah mana-mana pihak berkenaan masuk sehingga ke lorong belakang Kampung Chegar Medang. Rumah kami di lorong belakang ini seperti hilang dari radar bantuan.
“Cuba lihat sampah berlonggok ini. Salah satunya menghalang laluan kenderaan untuk keluar masuk. Paling utama sekali jika lebih seminggu terbiar saya risau akan ada penyakit lain pula timbul jika duduk dalam keadaan kotor begini,” katanya.
Menurut Saiful Ramli, 37, penduduk ketika ini sudah tiada tempat untuk memunggah barangan besar atau perabot yang rosak berikutan sampah yang tidak diuruskan sejak minggu lalu.
Beliau berkata, ramai penduduk risau akan keselamatan mereka dan anak-anak kecil kerana bimbang longgokan sampah itu menarik perhatian bintang berbisa.
Katanya, ramai penduduk memilih untuk duduk di rumah masing-masing biarpun kediaman mereka masih belum dibaiki, kerana risau terdapat beberapa laporan kecurian sudah berlaku.
“Sampah berlonggok banyak macam ni takut datang binatang berbisa. Kami ambil keputusan duduk di rumah risau dengan kes kecurian. Ada rumah hilang water jet, tong gas dan kereta dikumpil.
“Harap sangat isu sampah ini dapat perhatian segera. Orang luar nak masuk pun susah sebab sampah penuh di kiri kanan jalan,” ujarnya.
Sehingga laporan ini ditulis, sampah di taman perumahan dan kampung sekitar Benus, Ketari, Kampung Baru, Sungai Marong dan Perting yang dilanda banjir 19 Disember lalu masih belum diselesaikan. – Malaysiapost

