Banjir: Berhenti salahkan pihak berkuasa

0
3
Penduduk-penduduk membersihkan persekitaran rumah masing-masing yang terkesan akibat banjir semalam di Bukit Belacan Lembah Jaya Utara, Ampang hari ini.

ORANG ramai perlu berhenti menuding jari terhadap agensi penguatkuasa atas dakwaan lambat menyalurkan bantuan di kawasan terjejas banjir, sebaliknya perlu sama-sama turun padang membantu mangsa yang memerlukan termasuk semasa pasca banjir.

Setiausaha Kelab Rukun Tetangga (KRT) Fasa 7, Taman Seri Gombak, Datin Rohana Mustafa, berkata masyarakat tidak boleh menidakkan peranan dimainkan pihak berkuasa yang bertungkus lumus membantu apabila berdepan bencana sebelum ini.

“Kawasan yang terlibat dengan banjir kali ini agak besar untuk kita meletakkan tanggungjawab menyelamat sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Sebaliknya sebagai rakyat, kita perlu sama-sama turun membantu secara ikhlas dengan mematuhi prosedur ditetapkan.

“Namun apa yang diperhatikan netizen lebih gemar menyalahkan pihak berkuasa seperti bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Pertahanan Awam sedangkan mereka sendiri menyabung nyawa meredah arus untuk menyalur bantuan.

“Paling menyedihkan apabila ada dalam kalangan anggota penyelamat ini turut terjejas banjir apabila kediaman dinaiki air ketika mereka melakukan usaha menyelamat orang ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya KRT Fasa 7 setakat ini telah menyalurkan pelbagai bantuan seperti makanan kering, telekung, kain batik dan pelikat serta sejadah di kawasan Janda Baik, Pahang; Shah Alam dan Hulu Selangor, Selangor.

Sementara itu Pengasas Team Haq Esports Club, Aimanhaq Zaharudin, 22, turut senada dengan Rohana dan sanggup menutup sementara operasi pejabatnya bagi bersama-sama lebih 10 kakitangannya membantu mangsa banjir.

Pengasas Team Haq Esports Club, Aimanhaq Zaharudin turut turun padang membantu mangsa banjir

Katanya tanggungjawab membantu mangsa banjir bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya harus dipikul rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sebagai Keluarga Malaysia.

“Pada masa sama, pihak perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalur bantuan perlu mematuhi arahan pihak berkuasa untuk mengelak kesesakan di kawasan bencana sehingga menyukarkan operasi menyelamat,” katanya.

Menurutnya sikap saling membantu mereka yang ditimpa musibah termasuk banjir mencerminkan konsep Keluarga Malaysia seperti diketengahkan kerajaan.

Aimanhaq yang menggunakan wang sendiri dan dana dikumpul daripada rakan-rakan lain mula turun padang bagi menyalurkan bantuan sejak 18 Disember lalu bermula di Taman Sri Muda, Selangor dan Temerloh, Pahang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here