PRN Sabah: Tiada runding, kumpit dan PATI jika GRS menang

0
3

TIADA runding, ‘kumpit’ dan pendatang asing tanpa izin (PATI) jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini.

Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan merujuk kepada isu tuntutan Filipina ke atas Sabah, penggunaan bot pam dan masalah kebanjiran PATI di Sabah.

Tegasnya, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak boleh dirunding kerana Sabah adalah negeri merdeka, berdaulat dan bermaruah yang akan terus dipertahankan selama-lamanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah harus menolak pendekatan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan mahu berunding dengan Filipina bagi menangani isu tuntutan negara itu.

“Apabila Filipina kata mereka mahu tuntut Sabah, jawapan Shafie boleh runding bah..apa runding..ini negeri yang merdeka, kita berdaulat, bermaruah.

“Selagi mana kita hidup di negeri ini, akan kita pertahankan,” katanya ketika berkempan untuk calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai di Kiulu, malam tadi.

Dakwanya, isu PATI semakin bertambah di Sabah, malah kehadiran mereka hampir ada di seluruh negeri berikutan kelemahan kerajaan negeri menangani isu itu tanpa kerjasama kerajaan Pusat.

“Isu yang paling besar ialah kerana mereka (Warisan) mahu letak PTI di sini. Mana boleh kita mahu PTI di sini, ini Kiulu kampung kita, mana boleh kumpit datang sini. Kalau ada kumpit masuk sini, saya dan Datuk Joniston hancurkan kumpit itu.

“Tapi kena pastikan dia menang dulu kerana yang tahu bagaimana memperjuangkan nasib kita ialah orang Kiulu.

“Datuk Joniston sebelum ini jumpa saya bersama Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, tanya saya bolehkah kita selesai ini. Saya bilang saya Menteri Dalam Negeri saya pastikan masalah ini selesai dengan dibantu Barisan Nasional (BN) dan PBS.

“Ini bukan cerita baharu, empat bulan lalu, lama. Tapi mereka, yang diperjuangkan mereka ialah nak bawa kumpit, apa ini cerita bawa orang kumpit. Datuk tolong jangan benarkan orang kumpit masuk, saya bilang semua yang tiada dokumen akan kita halau keluar,” katanya.

Kumpit diharamkan di Sabah sebelum ini selepas ia didapati digunakan PATI dan penjenayah rentas sempadan untuk menyusup masuk ke Sabah melalui jalan tikus berikutan kelebihannya mampu memasuki perairan cetek dan sempit.

Sementara itu, Hamzah meminta rakyat Sabah tidak mempercayai dakwaan pemimpin Warisan yang menuduhnya mengeluarkan dokumen IMM13 kepada PATI khususnya mereka yang mempunyai kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

“Percayalah saya tidak keluarkan lagi IMM13 di Sabah ini, jangan cuba tipu, yang saya kata mereka yang sudah ada IMM13, kita akan `interview’ mereka dengan kerajaan Filipina dan dengan Indonesia kalau asal sana, kemudian bagi pasport dan hantar mereka balik. Kita tidak akan tipu rakyat,” katanya.

Mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), jelasnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan satu jawatankuasa yang besar ketika sambutan Hari Malaysia, Rabu lalu di Sibu, Sarawak.

“Ia dianggotai Perdana Menteri sendiri, Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta beberapa jemaah menteri untuk membincangka hal Sabah dan Sarawak.

“Malah, sekarang ada kementerian khas berkaita hal ehwal Sabah dan Sarawak yang disandang Presiden PBS, mana pernah ada dulu,” katanya. -Malaysiapost