Bau sampah banjir semakin busuk di Hulu Langat

0
2

LAMBAKAN sampah banjir kawasan Hulu Langat semakin mengeluarkan bau yang menusuk hidung.

Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz berkata, kekurangan ‘man power’ dan jentera menyebabkan lambakan sampah banjir tidak dapat dikutip dengan segera terutama di Taman Sri Nanding, Taman Damai dan taman lain.

Beliau berkata, selepas air surut penduduk sudah mula membersih dan mengeluarkan barangan yang rosak di luar kawasan rumah.

“Saya mencadangkan lori sampah, tong roro dan juga backhoe boleh diperbanyakkan untuk mengurangkan masalah ini. Tangki air pencuci dan juga jentera Bomba yang berkemampuan untuk memancut air juga mampu untuk membantu di dalam isu ini.

“Kita perlu mengenal pasti kawasan sesuai untuk dijadikan pusat sementara melonggok barang letrik dan perabot yang rosak sebelum dihantar ke kawasan pusat pelupusan bagi mengelak kesesakan longgokan sampah di kediaman penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Johan juga turut menyentuh mengenai proses permohonan bantuan banjir yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Proses permohonan bantuan banjir sebanyak RM1,000 yang diumum Perdana Menteri harus dipermudahkan. Sebagai contoh, ramai mangsa banjir di Hulu Langat ini tidak melapor diri di PPS dan bagaimanakah untuk mereka membuat laporan, sedangkan balai polis juga ditenggelami air.

“Saya cadang wujudkan mekanisma baru yang bersesuaian dengan keadaan di sini seperti melantik agensi berkaitan turun ke lapangan membawa laporan atau borang permohonan diisi di rumah mangsa banjir,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here