Dinding parapet hempap kereta, SUKE hentikan kerja serta merta

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PROJEK Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd mengesahkan kejadian dinding parapet terjatuh dari struktur binaan lebuh raya dan menghempap kereta berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang tadi.

Menerusi kenyataan, pemaju bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) itu telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja serta merta di tapak kejadian dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib melakukan siasatan.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terbabit.

“Segala kesulitan yang timbul dari insiden ini amatlah dikesali dan SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa demi keselamatan semua,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, seorang wanita nyaris maut apabila kepingan konkrit jatuh dan menghempap keretanya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang identiti belum dikenalpasti itu sedang memandu kereta jenis Proton Saga FLX dari Jalan MRR2 menghala ke Ampang.

Difahamkan ketika berdekatan hentian Terminal Bersepadu Selatan (TBS), kepingan konkrit pembinaan lebuh raya jatuh menghempap keretanya.

Konkrit yang dianggarkan bersaiz satu meter persegi itu jatuh pada bahagian tengah keretanya berdasarkan gambar dan video yang tular di media sosial.

Berdasarkan video tular berkenaan, wanita itu mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan dipimpin pengguna jalan raya yang lain.

Tiada mangsa lain terbabit dalam kejadian itu dan difahamkan wanita itu memandu bersendirian ketika kejadian. -Malaysiapost