PEMBUKAAN sesi persekolahan bagi penggal ketiga 2021/2022 ditangguhkan seminggu berikutan bencana banjir yang melanda negara, baru-baru ini.
Bagi sekolah-sekolah dalam kumpulan A, penggal ketiga akan bermula pada 9 Januari, manakala bagi sekolah dalam kumpulan B, pada 10 Januari.
Perkara ini diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam hantaran video di Facebooknya, hari ini.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi banjir di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa serta guru-guru secara langsung atau tidak langsung.
“Ia juga melibatkan sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau sekolah terjejas teruk.
“Maka KPM telah membuat keputusan bahawa sesi persekolahan Penggal ketiga 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu,” katanya dalam video itu.
Menurut Radzi makluman tentang hal berkenaan akan dikeluarkan melalui kenyataan media sebentar lagi .
Katanya, KPM amat cakna dan prihatin dengan kebajikan guru, murid dan ibu bapa yang terkesan dalam situasi banjir semasa.
“Kita sedar ini tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan kita fahami mereka memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan supaya dapat memulakan sesi persekolahan.
“Kita doakan yang terbaik untuk mangsa banjir seluruh negara dan KPM komited mengambil berat kebajikan murid, ibu bapa dan gurur-guru,” katanya.
Untuk rekod, kumpulan A terdiri daripada sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala sekolah di negeri lain dan wilayah persekutuan berada dalam Kumpulan B. – Malaysiapost

