KETUA Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengingatkan rakyat bersatu hati dan memelihara perpaduan serta mensyukuri nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara hari ini.
Beliau berkata, keutuhan silaturahim di antara kaum, sikap tanggungjawab dan kerjasama erat seluruh rakyat amat membantu usaha polis memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan negara.
“Semoga perayaan Krismas tahun ini diraikan dengan lebih meriah dan harmoni dalam kesepakatan kita menjunjung nilai-nilai murni masyarakat majmuk yang berbilang agama, bangsa dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Ketua Polis Negara sempena sambutan Krismas 2021, hari ini.
Acryl Sani berkata, beliau dan keluarga serta barisan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan selamat Hari Krismas kepada warga PDRM serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Kristian.
“Dalam kemeriahan dan keriangan menyambut Krismas, sama-samalah kita beringat dan jangan sesekali alpa untuk terus kekal mematuhi protokol kesihatan yang masih berkuat kuasa.
“Bagi yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalan raya dan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju,” katanya. – Malaysiapost

