
JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru semua pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di negeri itu melaksanakan solat hajat selepas mendirikan solat fardu Jumaat, hari ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata ia berikutan ujian musibah banjir yang menimpa negeri berkenaan dan penularan virus Covid-19 yang masih belum berakhir.
Beliau berkata, musibah banjir yang berlaku kali ini mengakibatkan kemusnahan harta benda, kemudahan awam dan meninggalkan trauma kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
“Sehubungan itu, semua pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor diseru untuk melaksanakan solat hajat dan munajat selepas mendirikan solat fardu Jumaat hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, usaha rohani itu untuk memohon pertolongan Allah SWT agar negeri dan negara terus dijauhkan daripada ancaman wabak dan musibah.
“Selain dipohon kepada Allah agar semua mangsa-mangsa banjir diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi bencana banjir ini,” katanya.
Terdahulu, hujan luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lalu ditambah dengan kejadian air pasang menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir besar.
Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan bahawa taburan hujan berkenaan mencecah 380mm iaitu lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini. – Malaysiapost
