DI SEBALIK kesusahan orang lain, ada juga segelintir pihak yang menangguk di air keruh mencari keuntungan di kawasan bencana banjir.
Perkara itu diluahkan seorang sukarelawan yang kesal apabila segelintir individu yang memiliki bot penyelamat persendirian mengenakan kadar upah untuk menghantar barangan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini.
Mohd Hilmi Hussin menjelaskan kepada Malaysiapost, pemilik bot persendirian mengambil kesempatan dengan mengenakan caj melampau iaitu RM300 untuk satu penghantaran.

“Saya amat kesal ianya berlaku. Saya datang ke sini pada hari ketiga, air ketika itu masih belum surut dan ramai mangsa banjir yang masih terperangkap dan kelaparan.
“Melampau, mereka nak buat bisnes pula. RM300 untuk satu trip. Ini satu penindasan kepada kami yang nak hantar bantuan ke kawasan bencana,” katanya.
Justeru, Mohd Hilmi berkata, tidak hairan lah banyak makanan boleh dilihat terbiar dan ada yang basi.
“Sebab tu banyak makanan, barang bantuan tersadai tidak dapat dihantar. Ada makanan perlu dihantar segera, kalau lambat, pasti esoknya jadi basi.
“Saya memang kecewa, ada pula yang nak menangguk di air keruh. Orang tengah susah, mereka pulak nak buat duit. Ini tidak sepatutnya berlaku.
“Saya dedahkan ini nak beritahu memang ada sikap manusia macam ni, saya dan mereka yang nak beri bantuan tak dapat hantar makanan kepada mangsa banjir yang kelaparan. Basi lah makanan ni,” katanya.

Tinjauan Malaysiapost di lapangan mendapati, memang terdapat longgokan makanan terbiar di beberapa tempat dipercayai tidak dapat dihantar kepada mangsa-mangsa banjir.
Malaysiapost sedang cuba mendapat maklum balas pihak berkuasa berkenaan isu ini. – Malaysiapost

