“BARU sahaja malam tadi saya berdoa agar hadirkanlah sesiapa sahaja yang boleh membantu membersihkan masjid ni.
“Hari ini takdir Allah, Pemuda Umno dan Skuad Sabil turun bantu, jika tidak dua Jumaat pun belum tentu dapat solat lagi,” luah Imam Masjid Kampung Bukit Piatu Bentong, Mohamad Razi.
Luahan itu dikongsikan kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut serta membersih dan mencuci masjid berkenaan hari ini.

“Alhamdulillah, inilah antara perencanaan Allah yang kita tidak duga. Kelmarin saya hanya bertanya khabar kepada Ketua Pemuda saya di Bentong mengenai keperluan yang Pemuda Umno Pusat boleh bantu.
“Beliau hanya menyebut kelengkapan seperti toto, selimut, air minuman dan alat penjagaan diri untuk mangsa banjir serta kalau boleh Sukarelawan Skuad Sabil untuk bantu mencuci,” katanya di Facebook, hari ini.
Asyraf berkata, misi bantuan di Bentong hari ini dimulakan seawal 8.30 pagi membabitkan seramai 40 orang daripada Pemuda Umno dan Skuad Sabil Wilayah Persekutuan serta Melaka.

Menurutnya, setelah menyerahkan peralatan keperluan yang diminta di beberapa Pusat Pemindahan Banjir (PPS), pasukannya memulakan operasi membersihkan Masjid Bukit Piatu di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari Bentong.
“Alhamdulillah selesai operasi selepas hampir 4 jam kerana tekanan air yang rendah dan lumpur yang agak tebal. Tapi mujurlah belum terlalu keras. Namun banyak peralatan masjid yang rosak teruk.

“Disarankan bagi sukarelawan yang nak membantu utamakan dulu tempat-tempat awam seperti masjid memandangkan penduduk setempat pastinya sibuk membersihkan rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak lebih kurang 11 pasukan Pemuda Umno daripada pelbagai negeri termasuk Perak, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan yang digerakkan untuk membantu kawasan-kawasan yang teruk terjejas dengan musibah banjir.

“Ayuh! Kita sama-sama sumbangkan tenaga dan apa jua kemampuan yang ada termasuk kewangan tatkala saudara kita sedang ditimpa kesusahan.
“Usah persoalkan orang lain yang sedang menyumbang, persoalkan apa yang kita boleh buat untuk turut menyumbang,” katanya. – Malaysiapost

