TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian adalah satu kehilangan kepada Johor dan Bersatu.
Presiden Bersatu itu turut dukacita selepas mendapat berita pemergian Allahyarham malam tadi, serta mendoakan ahli keluarga Osman tabah dengan dugaan berkenaan.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan saya mendoakan mereka bersabar dalam berhadapan dengan saat-saat yang menyedihkan ini.
“Secara peribadi saya telah lama mengenali Allahyarham dan sama-sama aktif dalam politik di Johor terutama ketika penubuhan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beberapa tahun dahulu,” katanya menerusi Facebook.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Allahyarham adalah seorang yang kuat, kental, tabah dan tidak mudah mengaku kalah.
“Pemergian Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas merupakan satu kehilangan kepada negeri Johor dan parti Bersatu.
“Sebagai seorang sahabat, pastinya hati ini sayu dan terkejut mendengar berita pemergian beliau. Tenanglah di sana sahabatku.
“Marilah sama-sama kita panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Saya memohon kepada semua untuk sama-sama membaca dan sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham,” katanya.
Terdahulu, Osman, 70, meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur kira-kira jam jam 11.45 malam tadi. – Malaysiapost

