Pemulihan bekalan air di Petaling, Hulu Langat, KL capai 87 peratus

0
2
Penduduk-penduduk mengambil air yang dibekalkan oleh Air Selangor di Pusat Khidmat Setempat berdekatan Padang Bola Hospital Kuala Lumpur hari ini.

STATUS pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur yang terjejas berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) telah mencapai tahap 87 peratus secara keseluruhan setakat 6 pagi hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, pecahan peratusan pemulihan bekalan air itu telah mencapai 100 peratus di Wilayah Petaling, Hulu Langat (89.9 peratus) dan Kuala Lumpur (81.7 peratus).

Air Selangor turut memaklumkan LRA Semenyih 2 kini sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji tersebut telah pulih sepenuhnya.

“Bagi LRA Sg Langat dan LRA Langat 2, kedua-dua loji telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam ini.

“Manakala bagi LRA Cheras Batu 11 pula, kerjakerja pembaikan sedang dilaksanakan. Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

” Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

Henti tugas di kesemua LRA berkenaan disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300, dan untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here