AEON Mall Shah Alam mohon maaf isu banjir

0
2

PIHAK Pengurusan Aeon Mall Shah Alam membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini kepada pelanggannya yang terkesan dalam kejadian banjir luar biasa pada Sabtu lalu.

Permohonan maaf itu susulan tular di media sosial mendakwa pihaknya menghalau mangsa banjir yang terkandas dan ingin berteduh di premis itu

Dalam satu kenyataan hari ini, pengurusan pusat beli belah terbabit memaklumkan tidak menyedari situasi sebenar banjir di sekitar premis berkenaan pada awalnya.

“Operasi kami berakhir pada 10 malam setiap hari, namun ketika itu boleh dikatakan tiada yang sedar situasi sebenar banjir yang berlaku di kawasan Shah Alam dan sekitarnya.

“Selepas menerima lebih banyak pertanyaan, keputusan dibuat pada jam 9.40 malam untuk membenarkan pelanggan, kakitangan serta penyewa untuk berlindung dalam premis sementara menunggu keadaan pulih,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook AEON Retail Malaysia, hari ini.

Menurut kenyataan itu, mereka mengambil maklum dan sedar kelemahan yang berlaku dalam menangani situasi ketika itu serta akan menjadikannya iktibar.

“Kami memohon maaf seikhlas hati di atas segala kekurangan dari pihak kami dalam menangani situasi tersebut. Kami sedar adalah tidak mudah memuaskan hati semua pihak apatah lagi dalam keadaan tidak bersedia, namun kami akan cuba pertingkatkan keupayaan kakitangan kami.

“Kakitangan kami tiada kemahiran atau pengalaman mengendalikan operasi sedemikian dan pihaknya akan berusaha memberi bantuan.

“Walaupun penat dan kerisauan memikirkan keluarga masing-masing serta dimarahi dan diherdik oleh sesetengah yang kurang sabar, kami tetap fokus dalam menyantuni pelanggan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan AEON Shah Alam menyantuni 570 pelanggan yang terkandas disebabkan banjir pada Sabtu lalu.

“Kepada yang menghargai kami ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Namun kepada yang tidak berpuas hati dan menyatakan secara terbuka di media sosial dengan penggunaan istilah yang kurang manis, kemaafan jua yang kami mohon dengan penuh rendah hati,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here