UniSZA umum cuti bencana 8 hari

0
2

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengumumkan cuti bencana bermula 19 hingga 26 Disember ini susulan banjir yang melanda beberapa negeri.

UniSZA dalam kenyataan memaklumkan, bencana banjir yang melanda beberapa kawasan dalam negara ketika ini menyebabkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) untuk pelajar bagi Semester I sesi 2021/2022 terjejas.

“Justeru, atas dasar kecaknaan dan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar, UniSZA mengumumkan cuti bencana iaitu semua kuliah membabitkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah (mod kerja kursus dan campuran) ditangguhkan bermula 19 hingga 26 Disember depan.

“Sepanjang tempoh itu, tiada sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran serta penghantaran tugasan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, bagi Fakulti Perubatan, hanya pelajar Tahun Satu sahaja yang terlibat dengan pelaksanaan cuti bencana berkenaan.

“Manakala bagi pelajar Fakulti Perubatan yang lain perlu mengikuti pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti biasa.

“Pengurusan dan seluruh warga UniSZA mendoakan agar semua pelajar yang terlibat dengan bencana banjir ini dipermudahkan urusan, dikurniakan kesabaran dan dilindungi daripada perkara yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, pelajar UniSZA yang terkesan dengan banjir dan memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) menerusi talian 09-6687945 atau menghubungi fakulti masing-masing. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here