Ada anggota penyelamat belum balik ke rumah sejak Jumaat – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib tampil mempertahankan pasukan penyelamat lambat tiba di lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa banjir. 

Beliau berkata, pasukan penyelamat telah memulakan operasi menyelamat mangsa banjir sejak dari Jumaat lagi. 

“Kita juga usah lupa dengan pengorbanan semua anggota penyelamat yang bertungkus lumus sejak Jumaat lalu. 

“Saya ada berjumpa dengan anggota ini di beberapa kawasan terjejas dan ada yang belum pulang ke rumah lagi sejak Jumaat lalu demi tugas. Masih mampu tersenyum dan menggalas tugas dan amanah,” katanya di Facebook, hari ini. 

Ahli Parlimen Pekan itu menyeru orang ramai terutama mangsa banjir memahami situasi banjir di Selangor dan beberapa faktor yang menjadi halangan untuk pasukan penyelamat melaksanakan kerja-kerja mereka. 

“Saya tahu ada yang marah marah dan mendakwa anggota keselamatan kita lewat tiba. 

“Kita perlu faham, banjir kali ini serentak berlaku contohnya di Selangor, di banyak kawasan penduduk maka kerahan anggota dan aset perlu diagihkan dan pasti akan berlaku kelewatan. 

“Kita perlu ambil kira, pengerakan mereka yang terpaksa menempuh jalan putus, tanah runtuh dan sebagainya namun mereka tetap berusaha untuk tiba di kawasan terjejas,” katanya. 

Pada masa sama, Najib menasihatkan mangsa banjir agar bersabar menghadapi situasi banjir yang luar biasa tahun ini. 

“Saya diberitahu ada yang turut menengking anggota keselamatan ini. Saya harap anda semua bersabar kerana mereka sedang melakukan yang terbaik dengan kemampuan paling tinggi. 

“Ucapkan terima kasih pada mereka kerana anggota keselamatan ini sedang melakukan yang terbaik untuk kita semua. Itu sahaja yang saya pohon dari anda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here