Rentas sempadan Malaysia – Singapura dijangka Ogos

0
3

Fitri Nizam

Covid-19 | Kementerian Luar Negeri menjangka pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura akan bermula paling awal pada 17 Ogos depan.

Perkara itu diumumkan Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan hari ini.

Beliau berkata, pertemuan itu membincangkan mengenai pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura bersyarat menerusi dua skim seperti yang diumumkan pada minggu lalu.

“Dua skim ini ialah Reciprocal Green Lane (RGL) atau Laluan Hijau Timbal Balik dan Periodic Commuting Arrangement (PCA) atau Pengaturan Ulang Alik Berkala yang mengikut perancangannya akan dilaksanakan bermula 10 Ogos depan.

“Menerusi perbincangan tadi, kesepakatan antara Malaysia dan Singapura mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan kedua-dua skim tersebut dicapai dan dimuktamadkan.

“Sehubungan itu, kedua-dua pihak merancang mengeluarkan garis panduan untuk makluman awam mengenai syarat-syarat dan cara-cara membuat permohonan di bawah kedua-dua skim ini dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan.

Foto: Kementerian Luar Negeri

Hishammuddin berkata, rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah kedua-dua skim berkenaan boleh menghantarnya kepada Jabatan Imigresen Malaysia bermula 10 Ogos.
Dalam masa sama, Hishammuddin memaklumkan terdapat dua lagi skim yang dicadangkan iaitu rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura serta pembukaan sempadan sepenuhnya.

“Untuk skim ketiga dan keempat ini, Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan kerana ia berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi Covid-19 jelas masih belum reda,” katanya.

Beliau berkata, kelulusan terhadap cadangan berkenaan tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan Covid-19 harian terhadap pekerja yang berulang alik.

“Selain itu, kelulusan ini amat berkait rapat dengan tahap disiplin dan pematuhan rakyat kedua-dua negara yang melaksanakan pergerakan rentas sempadan menerusi skim RGL dan PCA,” katanya.