KPLB peruntukan RM4 juta bantu mangsa banjir

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersama lapan agensinya memperuntukkan RM4 juta sebagai bantuan segera bakul makanan tambahan kepada kumpulan sasar mangsa banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan agensi yang terlibat adalah MARA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) , FELCRA, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

“Selain itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), dengan masing-masing memperuntukkan RM500,000 bagi membantu mangsa terjejas.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan juga ketua-ketua agensi KPLB untuk mengambil tindakan segera bagi menyalurkan bantuan berbentuk bakul makanan tambahan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, KPLB juga akan membaik pulih infrastruktur dan rumah yang rosak atau musnah dalam kejadian banjir di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Di Kelantan, agensi KPLB iaitu KESEDAR juga telah membuka bilik gerakan banjir mulai 17 Disember 2021.

“Sejumlah 200 unit bakul makanan akan diserahkan esok kepada mangsa yang terkandas di kediaman masing-masing,” katanya.

Tambahnya, seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan KESEDAR juga akan digerakkan bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan bagi membantu mangsa banjir.

“Saya berharap, semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan ini, pada masa yang sama saya meminta supaya mereka sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan termasuk agensi KPLB bagi menyalurkan sebarang maklumat jika ada yang memerlukan sebarang bantuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here