PM terkesan lihat keadaan mangsa banjir

0
3

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta supaya memastikan setiap mangsa banjir menerima kemudahan dan bantuan yang sewajarnya.

Arahan itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas membuat tinjauan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Klang pagi tadi.

Beliau turut menzahirkan rasa sedih dengan keadaan yang menimpa mangsa-mangsa banjir.

“Saya terkesan melihat keadaan yang menimpa mangsa-mangsa banjir di SK Johan Setia, Klang. Hari ini sahaja kira-kira 690 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir berkenaan dan saya sempat menyantuni mangsa-mangsa yang terdiri daripada warga emas, Orang Kurang Upaya dan anak-anak kecil.

“Selain bertanya khabar, saya berdoa semoga mereka bersabar dan tabah menghadapi musibah yang melanda.

“Pada masa yang sama, saya telah meminta JKM supaya memastikan setiap mangsa menerima kemudahan dan bantuan yang disalurkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mendoakan keselamtan semua mangsa yang terjejas akibat banjir kali ini.

Setakat jam 12.25 tengah hari tadi dilaporkan jumlah mangsa banjir di lapan negeri yang terjejas adalah seramai 21,949 mangsa membabitkan 7,627 keluarga.

Lapan negeri yang terjejas adalah Pahang, Selangor, Kelantan, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Terengganu dan terbaharu Perak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here