ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) telah dikerahkan membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam kenyataan di Facebooknya lewat malam ini, Hishammuddin berkata, langkah itu diambil susulan situasi banjir di beberapa negeri semakin kritikal.
Beliau berkata, antara yang telah berada di lapangan ialah anggota dan aset daripada 11 Briged dan 12 Briged bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Selangor, khususnya di Klang, Sepang, Damansara dan Bukit Lanchong.
“ATM juga siap siaga memperluaskan operasi bantuan di kawasan-kawasan yang lain yang berpotensi terjejas teruk. ATM dan rakyat berpisah tiada, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Kepada orang ramai, pastikan sentiasa berwaspada dan jaga keselamatan diri serta ahli keluarga. Jauhi tempat dilanda banjir, pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarah dan jaga SOP semasa berada di PPS. Sama-samalah kita doakan semoga situasi banjir ini segera pulih,” katanya. – Malaysiapost

