PM arah semua kementerian gerak aset di kawasan terjejas banjir

0
3

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mengarahkan semua kementerian berkaitan segera menggerakkan semua aset di kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera.

Perdana Menteri berkata arahan itu dikeluarkan semalam selepas taklimat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) susulan hujan lebat secara berterusan.

“Saya juga sudah bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara untuk menggunakan aset tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi-agensi sokongan lain.

“Ia untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di pusat pemindahan sementara.

“NADMA juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka juga mempunyai maklumat mangsa banjir dan pengumpulan maklumat ini dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan,” katanya.

Ismail Sabri berkata beliau juga telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi-agensi terlibat.

“Saya minta Keluarga Malaysia yang berada di kawasan terjejas banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa. Jaga keselamatan diri dan keluarga.

“Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah-langkah dan tindakan yang dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here