Pemilihan Umno ditentukan 5 pemimpin utama parti

0
3

PENETAPAN sama ada pemilihan Umno diadakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dimuktamadkan selepas lima pemimpin tertinggi parti itu mengadakan perbincangan.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata, segala keputusan berkaitan perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan berkenaan.

Katanya, lima yang dimaksudkan itu ialah Presiden, tiga Naib Presiden selain dirinya selaku Timbalan Presiden.

“Biarlah kami berlima berbincang, kalau nak selepas PRU15… Apa yang kita buat mesti menjurus kepada banyak memberi kebaikan pada parti dan bukannya kepada individu tertentu atau kelompok-kelompok tertentu.

“Kita akan lihat baik buruknya terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya dipetik daripada Sinar Harian ketika sidang media selepas selesai Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rembau 2021 di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan daripada sayap Umno yang mahu pemilihan parti diadakan selepas PRU15 selesai.

Sebelum ini, media melaporkan Puteri Umno mahu pemilihan parti diadakan selepas PRU15 bagi memastikan seluruh jentera dan kepemimpinan parti memberi fokus 100 peratus kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU15.

Selain itu, majoriti perwakilan Pemuda Umno di seluruh negara juga senada dengan Puteri dan mengesa agar pemilihan parti diadakan selepas PRU15.

Sementara itu, mengulas mengenai usul menerusi persidangan berkenaan, Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau berkata, usul lain yang dikemukakan termasuk parti itu perlu berpegang kepada resolusi pada Perhimpunan Agung Umno 2020 yang memutuskan tidak bekerjasama dengan parti lain pada PRU15 akan datang.

“Umno (BN) mengambil jalan tidak mahu mengikat dengan mana-mana parti ketika PRU15 tetapi apa juga perkara membabitkan kepentingan selepas PRU untuk menubuhkan kerajaan atau mengukuhkan kestabilan politik demi kepentingan negara itu akan dibincangkan selepas PRU,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here