SAYA akan sentiasa menghormati suara akar umbi dan keputusan yang dibuat berdasarkan suara majoriti, demikian kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata, beliau mendengar pelbagai pendapat disuarakan akar umbi parti itu di seluruh negara berhubung pemilihan Umno sama ada diadakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya amat meraikan dan menyantuni perbedaan pendapat, apatah lagi kepelbagaian pandangan yang dilontarkan.
“Umno mendengar banyak suara-suara dalaman parti yang mahu pemilihan Umno hanya diadakan selepas PRU15.
“Umno turut mendengar desakan sebilangan kecil meminta supaya pemilihan Umno diadakan lebih awal sebelum PRU15,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Bagan Datuk, hari ini
Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Umno dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu Januari depan.
“Maka Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian hari ini akan menetapkan usul masing-masing berhubung perkara itu.
“InsyaAllah sebagai Presiden parti politik milik rakyat dan lebih 3.3 juta ahlinya, saya amat demokratik dalam perkara ini.
“Walau apa ketetapannya nanti, InsyaAllah Umno telah pun bersiap siaga untuk berdepan PRU15 pada bila-bila masa,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid berharap apa jua ketetapan diputuskan Umno perlu diterima dengan berlapang dada oleh setiap ahli parti.
“Kerana itulah sifat, falsafah serta jati diri Umno yang perlu dipertahan dan diperakui dulu, kini dan selamanya.
“Dan saya berharap seluruh ahli serta pimpinan Umno turut menghormati apa sahaja ketetapannya kelak.
“Janganlah kita lakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang akan diputuskan. Kekalkan perpaduan berterusan,” katanya. – Malaysiapost

