PRN Sarawak: Cuaca mendung dorong pengundi keluar awal

0
2

CUACA mendung sejak awal pagi di wilayah tengah Sarawak menyebabkan pengundi keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), hari ini.

Difahamkan, pengundi mula datang di semua pusat mengundi seawal jam 6.30 pagi walaupun pengundian hanya bermula jam 7.30 pagi, lapor Berita Harian.

Kehadiran awal di tempat mengundi melancarkan proses pengundian dan sehingga jam 9.30 pagi, ada lokasi mencatat jumlah keluar mengundi lebih 70 peratus.

Pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Galau di Kuala Rajang, antara yang mencatat peratusan keluar mengundi tinggi pagi ini.

Sehingga jam 9.30 pagi, sebanyak 75 peratus pengundi di kawasan itu sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Hujan lebat di beberapa lokasi bagaimanapun menjejaskan sedikit jumlah yang keluar mengundi sehingga jam 9 pagi tadi.

Pusat mengundi di Madrasah Kampung Gelam, di Song dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, antara yang terjejas akibat hujan dengan hanya 30 peratus mengundi setakat jam 9 pagi.

Satu lagi pusat mengundi di kawasan itu iaitu di SK Hin Hua pula mencatatkan sebanyak 40 peratus.

Bagaimanapun, jumlah keluar mengundi dijangka meningkat menjelang tengah hari, berikutan hujan dijangka reda di beberapa kawasan di wilayah tengah Sarawak.

Secara keseluruhannya proses pengundian di wilayah tengah Sarawak yang meliputi bahagian Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah dengan 28 kawasan DUN, berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatalkan dan diungkaikan oleh kerajaan. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here