Paras Sungai Tembeling makin tinggi, berisiko melimpah

0
2

PARAS air Sungai Tembeling menunjukkan trend menaik apabila merekodkan paras setinggi 67 meter di Kuala Tahan, setakat pukul 6 petang hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, hujan berterusan di kawasan Hulu Tembeling sejak tiga hari lalu menyebabkan air Sungai Tembeling dan Sungai Gusai melimpah masuk ke penempatan pesisir sungai itu.

“Senario ini menyebabkan penduduk di pesisir kedua batang sungai itu berjaga-jaga sejak tengah malam tadi dan bagaimanapun masih tidak melibatkan pemindahan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Petang ini, saya memantau keadaan air Sungai Tembeling di pintu masuk Taman Negara mendapati Pulau Agoh di tengah sungai tersebut sudah ditenggelami air dan trend ini menunjukkan amaran apabila tempat menyukat air menunjukkan paras pada ketinggian 67 meter berbanding paras normal 60 meter,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini 

Justeru itu, Mohd Zakhwan menasihati nelayan sungai supaya memberhentikan tangkapan ikan, manakala pemandu bot penambang perlu berhati-hati ketika mengharungi arus deras dan kawasan jeram.

Menurutnya, sehingga pukul 6 petang ini air Sungai Tembeling menenggelami jeti Kuala Tahan, manakala kira-kira enam buah restoran terapung sudah ditambat pada batang pokok berdekatan tebing bagi mengelakkan dihanyutkan banjir.

Dalam perkembangan yang sama, banjir sudah memenuhi kawasan penempatan dan kedai kopi berdekatan pesisir Sungai Tembeling di Kampung Bantal, mukim Hulu Tembeling hari ini.

“Bagaimanapun belum masih ada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sehingga pukul 6 petang ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here