HAJAT seorang kanak-kanak menderita penyakit jantung terbalik ke taman tema Legoland di Johor Bahru, Johor sebelum menghembuskan nafas terakhirnya bakal mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor yang mahu memenuhi impiannya itu.
Berita gembira untuk Mohd Adam Amsyar, 9 dikongsi Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitter miliknya, hari ini.
“Alhamdulillah jumpa nanti adik Adam,” tulis Tunku Ismail yang berkenan untuk menanggung segala kos keluarga kanak-kanak itu untuk bercuti di Legoland.
Semalam, Adam meluahkan hasratnya untuk ke Legoland bersama keluarganya ketika ditemui media di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Sanglang.
Bapa kanak-kanak itu, Abd. Rahman Ahmad, 47, bagaimanapun terpaksa memendam hasrat tersebut kerana tidak berkemampuan.
Rata-rata netizen menzahirkan perasaan terharu dengan budi baik Tunku Ismail dan segala kebaikan yang dilakukan terhadap kanak kanak itu dan keluarganya.
“Alhamdulillah. Untuk yang ini saya mendoakan Allah memberikan sebanyak-banyak rahmat dan berkat ke atas Tuanku sekeluarga,” jelas @chubb.
“Alhamdulillah. Terima kasih @HRHJohorII pantas dan tanpa mengira masa membantu rakyat Johor. Semoga tunku dan seluruh kerabat DiRaja Johor sentiasa dlm lindungan Allah,” ujar @m_nuqman.
“Alhamdulillah. Semoga anak istimewa tersebut bergembira di Legoland dan didoakan agar segala berjalan lancar buat anak tersebut dan keluarga,” kata @sufia88. – Malaysiapost
Kredit foto: Harian Metro

