SPRM tahan bekas Pegawai Kanan ATM bergelar “Datuk”

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu berhubung siasatan tuntutan palsu projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.

Salah seorang dari individu yang ditahan merupakan bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Datuk.

Manakala, seorang lagi individu yang ditahan merupakan pengarah syarikat pembekal.

Kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 62 dan 56 tahun tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 5 petang dan 11 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, tuntutan berkenaan membabitkan pelaksanaan 10 jalan negeri di Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan yang bernilai kira-kira RM800 juta.

Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dikenali sebagai ‘Projek Jiwa Murni’ di bawah kementerian berkenaan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu sejak tahun 2010 hingga 2016.

Antara daerah serta kawasan yang terbabit adalah di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga.

Sebelum ini, dua pengarah syarikat yang bergelar ‘Datuk’ turut ditahan SPRM berhubung kes sama. – Malaysiapost